Friday, June 28, 2013

YANG SEBENARNYA ADA EMPAT PERKARA

Yang sebenarnya,
Rasa hati tidak menipu,
Kerna,
Yang menipu itu persepsi.

Yang sebenarnya.
Meluah rasa hati itu tidak salah,
Kerna,
Yang salah itu tanggapan.

Yang sebenarnya,
Berterus terang itu jujur,
Kerna,
Yang tidak jujur itu penerimaan.

Yang sebenarnya,
Berlaku jujur itu tidak menyakitkan,
Kerna,
Kesakitan itu sebenarnya kenyataan.

Monday, June 17, 2013

KABUT SEKEBUN MAWAR

patah kata yang disalah mengerti,
mungkin saja membunuh bibit-bibit indah yang selama ini dibaja,
kian hari cermat kuntum rasa kasihnya menguntum,
kelopak kelopak merah ros yang mekar,
kusam pucat dek kerana bait nahu,
bahasa aras sastera serampang dua mata,
yang dilontarkan kata hati tidak sama yang ditelan oleh benak mentafsir,
maka bantutlah remajanya rasa yang tadinya mekar sihat,

jangan pernah ragu,
bila sejauh ini keringat dan air mata menitis,
hanya menyemai jambangan kembang yang pernah layu,
kian harum wanginya tulus selari niat,
menyunting dan diabadikan untuk selamanya mekar
dek nahu yang disalah mengertikan.

Sunday, June 16, 2013

ANAK SAWIT

Selamat pagi felda membangun Serting,
Bagaimana khabar alam sekitarmu,
Apa khabar anak anak watan,
Masih membungkam dalam selimut khayalankah?
Atau sedang menghirup kopi pahit politik yang hangat,
Di warung warung cendikiawan bijak pandai yang sendi ilmunya warta berita nasional.

Apa khabar pucuk-pucuk muda kelapa bali tanam semula,
Tinggi menjulang kehidupan sihat berbajakan subsidi,
Atau kian dihurung dedalu menfaatkan baja sokongan marhain,
Meneruskan simbiosis perut dan kelongsong kroni,
Peras dan perah keringat longgokan laba rezeki di ladang.

Beritahu pada tandan tandan kelapa sawit,
Serta pada pelepah hijaunya yang kian melentur tidak dipotong,
Juga pada biji biji sawit kuning yang lerai,
Betapa aku rindukan kampung halaman.

Saturday, June 15, 2013

BELATI RASA

ini bukan seutas tali yang merantai,
antara hati aku dan dia,
ini juga bukan titi yang menghubung,
sempadan rasa antara aku dan dia,
tapi ini adalah belati yang tajam memutus,
rasa antara aku dan dia,
yang tinggal cuma parut yang tidak lagi berdarah.
sembuh sudah lukanya,
yang kekal cuma bekas gurisan cerita lama,
terkadang buat aku terkenang dan mengeleng-gelengkan kepala.

IKHLAS

paling pantas yang terpacul,
dari hujung lisanmu adalah dua;
samaada ianya hati yang mendahului akal,
memaksa bicaramu terzahir,
atau;
akal yang menyulam kata-kata hatimu,
cantik susun kosa katanya, indah gaya bahasanya.

manakah pula katamu yang tadi kau tengakkan tiang ikhlasnya,
adakah akal menipu benakmu,
mendustakan hati, mendahului nafsu,
berpintal-pintal lisan menggambarkan hati,
yang hakikatnya jiwamu sendiri yang mendustakan.

nah,
kembali bertanya pada akalmu,
dalam-dalam hatimu,
pijak nafsu pada lantai dingin warasmu,
jika tiap lisan yang dilontarkan,
yang pernah kau zahirkan,
yang ikhlas kau katakan,
apa ukurnya?
apa pembarisnya?
apa sukatnya,
setiap ikhlas kata-kata?

Sunday, September 4, 2011

PENDOSA JIJIK

aku pendosa nista,
yang tewas dengan khilaf manusia lemah,
tersungkur di kaki bahagia,
merayu diberikan apalah kiranya peluang,
barang sepatah kata ya satu peluang lagi,
namun khilaf maha besarku belum tentu mampum
mereda api bencimu,
pada sang pendosa yang tadi,
kau lemparkan,
hamburan jijikmu.

amat jijik.

Saturday, April 2, 2011

EPISOD PERASAAN HATI


dari sebuah sudut penjuru hati,
yang makin merapuh,
ada derai-derai sisa sebuah rasa cinta,
dulu pernah merah warnanya mekar,
bertukar pucat berkobar lesu,
bila harapan yang aku harapkan tidak lagi menjadi nyata.

dan sekian kalinya aku berdiri ditepian jeriji hati,
yang diantara ada dua keadaan,
gembira dan kesedihan,
dan untuk kali yang keberapa,
aku terduduk disudut ini,
keadaanya sendiri yang aku tahu keputusannya.

dan belum pun sembuh parut rasa yang tinggal,
tersisa aku dengan rasa cinta yang menggamit,
namun hujung ceritanya seperti yang aku duga,
walaupun hati dan rasa ini telah tepu meranjau semuanya,
kisah perasaan hati yang klise masih pada episod lama,
pasrah dihujung cerita.