Tuesday, January 26, 2010

PANTUN KECHUNDANG

Saya ada empat rangkap pantun untuk dijual. Silalah asah bakat mengarang berpantun dengan beli mana-mana rangkap yang saya jual. Untungnya membeli pantun ini tak nampak dengan ukuran jasadnya, tapi sebaliknya kamu kaya dengan kehalusan budi dan ketajaman fikiran. Kamu harus mempunyai perasaan yang indah tetapi melahirkannya dengan pertimbangan fikiran yang tajam. Selamat mencuba.


1.


Malam gelap pasang pelita,

Kain perca buat sumbunya;

Ramai orang berjanji setia,

kenapa tidak dengan sungguhnya?



2.


Hari minggu mahu berkelah,

Pantai Balok airnya bersih;

Bersumpah sudah berjanji pun sudah,

Mengapa tergamak bercabang kasih?


3.

Giling cili bersama belacan,

Racikkan nenas buatkan acar,

Bila dah rindu mengulit kenangan,

Merintih kalbu adakah penawar?


4.

Mekar kemboja bunga di taman,

Simpan setangkai didalam balang;

Tika ketawa ramai berteman,

Bila menagis kemana menghilang?

Sunday, January 24, 2010

RAJUK

derau darah ego meluap,
yang merah asapnya selalu membuak panas,
yang tadi tersirap lesu, kini menyejuk;
bila senyum manis kau ukir,
seraya zahirkan kata hatimu,
tanpa suara atas kaca-kaca telefon,
dugaku menjadi aksara berbaur cinta.

**
kusam pucat seketul hati,
yang tiba-tiba tadi tersentap,
gamam dengan perilakumu,
menggamit kelat perisa cemburu,
yang kucebik dihujung bibir cemburu.

Wednesday, January 20, 2010

DURI-DURIAN

janji itu seperti.
ulas-ulas durian kampung yang ranum,
cantik kuning, lemak rasa,
tebal isi,
kuat bau duriannya.

janji itu seperti,
ulas-ulas durian kampung,
tajam durinya,
tinggi dahan bergantung,
panas tak tertanggung,
jika lebih melahapnya.

janji itu seperti,
ulas-ulas durian kampung,
yang tersusun cantik dibahu jalan,
menggamit penggemar durian,
yang sebenarnya belum tentu,
cantik isi dan rasanya.

Tuesday, January 19, 2010

MAKAN CINTA MAKAN

aku mengunyah sisa hidup yang kau tinggalkan,
dengan ulam memori pahit dulu,
yang ruji makanannya kini;
hanya kuah-kuah sepi.

aku telan sisa hidup yang tertinggal,
dengan hirupan kenangan tawar,
gulai tanpa santan cinta,
yang pijar pedas kehampaan.

aku hadam makanan kehidupan,
yang kini suam kasih sayang,
lemau dimasuki angin kecewa,
sendirian mengisi perut cinta yang lapar.

PANIK HUJAN DIHUJUNG SORE

rintik-rintik hujan sore,
mula membasahi bitumen kehidupanku,
berderai-derai titis air menitik,
terus menitik lebat,
hujan sore membuatkan kehidupan ini kuyup.

dari kering selesa,
mulai lencun dengan titisan hujan sore;
kian menggila,
ada kilat-kilat memancar,
dumm,dumm,dumm;
petir-petir kuat berdentum,
yang semuanya menakutkan kehidupan.

banjir besar mula menghampiri,
kaki kehidupan dilitupi air deras,
yang makin laju menghanyutkan kehidupan dahulu,
penggantungan hidup ini dimana harus kupautkan?
pada ranting cinta yang rapuh itu?
atau cubaku bergantung pada juntaian kasih;
yang genting benar jalinanya?

kehidupan ini semakin getir,
apakah harus biarnya hanyut bersama banjir ganas,
atau terusan berharap ada matahari bersinar,
atau menanti sahaja banjir ini berlalu,
buatkan kehidupan ini terkapai lemas?
buntu tatkala hujan menggila membasahi kehidupan.

Monday, January 11, 2010

PASRAH DIHUJUNG CERITA

demi kasih cinta,
telah aku persembahkan hatiku,
berdetak degup hanya untukmu,
walau pernah aku tersilap melangkah,
telah aku jaga semula kejujuran,
ikhlas dan tulus dalam setiap hela nafasku,

kerana;
demi kasih cinta,
telah aku relakan kecewa atas perilakumu,
telah aku buka luasnya depaan kemaafan,
memeluk tiap khilaf langkahmu,
kerana;
aku mengerti,
mencintai itu tak semestinya memiliki,

layaknya huraian erti kasih sejati,
kerana
cinta yang sungguh ini,
tiada mungkin pernah berserah.